Bermula 1 Januari
2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang
telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang
Keledar) (Pindaan 2008).
Kaedah ini mula berkuatkuasa ke atas semua jenis kenderaan kecuali kenderaan-kenderaan seperti berikut :
- Kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995.
- Kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995, tetapi tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam (rear anchorage points).
- Kenderaan yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu; dan
- Kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan (BDM) melebihi 3.5 tan.
Bagi kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995 dan
mempunyai penambat binaan dalam (rear anchorage points), tetapi tidak
dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik kenderaan
tersebut diberi tempoh selama 3 tahun untuk memasang tali pinggang
keledar tempat duduk belakang. Tempoh 3 tahun ini bermula dari 1 Januari
2009 hingga 3i Disember 2011.
Bagi membantu pemilik kenderaan, pihak JKJR dan pengeluar kenderaan
iaitu Proton, Perodua dan Honda telah menandatangani MoU di mana
pengeluar kenderaan-kenderaan tersebut telah bersetuju memasang tali
pinggang keledar belakang secara percuma (bagi kenderaan yang
dikeluarkan mulai 1hb Januari 1995). Adalah dianggarkan sebayak 227,000
buah kenderaan Proton, 435,000 buah kenderaan Perodua dan 35,000 buah
kendraan Honda akan dipasang secara retrofit oleh pengeluar
masing-masing. Pemilik kenderaan adalah dinasihatkan supaya mengambil
tindakan awal untuk melengkapkan kenderaan masing-masing dengan tali
pinggang keledar tempat duduk belakang demi melindungi keselamatan diri
dan penumpang.
Intervansi atau inisiatif melalui penguatkuasaan tali pinggang keledar
belakang ini dibuat bertujuan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian
apabila berlaku kemalangan jalan raya. Mengikut kajian oleh MIROS
(Malaysian Institute of Road Safety Research), pada tahun 2007, terdapat
350 kes kematian, 700 kes cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang
melibatkan penumpang di tempat duduk belakang kenderaan persendirian.
Dari jumlah ini sebanyak 40% – 50% kes kematian, cedera parah dan cedera
ringan yang melibatkan penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya
pemandu atau penumpang memakai tali pinggang keledar.
Mana-mana pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang
keledar (hadapan atau belakang) akan disaman. Penalti bagi kesalahan ini
adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu
(1) tahun atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun, bagi tempoh enam
(6) bulan pertama iaitu mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2009, JPJ atau
PDRM akan menawarkan kompaun RM300 kepada pesalah.
Persoalan dan Jawapan :
ADAKAH SEMUA KENDERAAN DIWAJIBKAN MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG ?
Mulai 1 Januari 2009 semua kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1
Januari 1995 wajib memasang tali pinggang keledar tempat duduk
belakang.
APAKAH KENDERAAN YANG DIKECUALIKAN DARIPADA DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Kenderaan-kenderaan yang dikecualikan dari dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang adalah seperti berikut:-
- Kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995.
- Kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam (rear anchorage points).
- Kenderaan yang mempunyai lebih daripada lapan tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu; dan
- Kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan (BDM) melebihi 3.5 tan.
ADAKAH
DIKENAKAN TINDAKAN SAMAN JIKA KENDERAAN YANG DIDAFTAR SELEPAS 1 JANUARI
1995 TETAPI TIDAK DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Tidak. Kenderaan tersebut diberi tempoh sehingga 31 Disember 2011 untuk dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.
BERAPAKAH JUMLAH TALI PINGGANG KELEDAR YANG SEPATUTNYA DIPASANG PADA SESEBUAH KENDERAAN?
Setiap tempat duduk di dalam sesebuah kenderaan yang kapasitinya tidak
melebihi 8 tempat duduk tidak termasuk pemandu hendaklah dipasang tali
pinggang keledar.
ADAKAH KENDERAAN BARANGAN DIKECUALIKAN DARI MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR?
Kenderaan barangan yang mempunyai berat muatan maksimum melebihi 3500
Kg adalah dikecualikan daripada memasang tali pinggang keledar belakang.
ADAKAH KENDERAAN JENIS VAN, MPV, SUV DAN MUV PERLU DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Ya. Sekiranya kenderaan tersebut didaftar pada atau selepas 1 Januari
1995 dan jumlah tempat duduknya kurang dari 8 orang termasuk tempat
duduk pemandu.
BOLEHKAH TEMPAT DUDUK BELAKANG SESEBUAH KENDERAAN DIPASANG DENGAN TALI PINGGANG KELEDAR JENIS IKATAN PINGGANG SAHAJA?
Ya. Boleh. Sekiranya binaan kenderaan tersebut tidak membolehkan ia dipasang dengan tiga penambat bina dalam.
KENDERAAN
YANG DIDAFTARKAN PADA DAN SELEPAS 1 JANUARI 1995 TETAPI TIDAK MEMPUNYAI
TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG. APAKAH YANG PATUT
DILAKUKAN?
Kenderaan-kenderaan tersebut dipasang tali pinggang keledar di
agen-agen kenderaan berkenaan. Disamping itu, Kementerian Pengangkutan
telah mendapat kerjasama pembuat kenderaan Proton, Perodua dan Honda
untuk membekal dan memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang
secara percuma.
KENDERAAN
YANG TIDAK DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG SELEPAS
TEMPOH 31 DISEMBER 2011 PEMASANGAN BERAKHIR, ADAKAH PEMILIKNYA AKAN
DIKENAKAN TINDAKAN SAMAN?
Pemilik kenderaan berkenaan akan dikenakan tindakan saman.
SIAPAKAH YANG AKAN DIKENAKAN TINDAKAN SAMAN SEKIRANYA TERDAPAT PENUMPANG YANG TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tindakan saman akan dikenakan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar.
BERAPAKAH UMUR PENUMPANG YANG AKAN DIAMBIL TINDAKAN SAMAN SEKIRANYA TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG?
Tindakan saman hanya akan dikenakan kepada penumpang yang berumur 17 tahun dan ke atas sahaja.
SIAPAKAH YANG DIKECUALIKAN DARIPADA MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Pengecualian daripada memakai tali pinggang keledar diberikan kepada:
- Orang yang diperakui oleh dua orang pengamal perubatan berdaftar - tidak boleh memakai tali pinggang keledar atas sebab kesihatan; dan
- Mana-mana orang yang dikecualikan oleh Menteri dari masa ke semasa.
ADAKAH PEREMPUAN MENGANDUNG DIKECUALIKAN MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Ya. Perempuan yang sarat mengandung dikecualikan memakai tali pinggang keledar.
SIAPAKAH
YANG AKAN DIKENAKAN TINDAKAN SEKIRANYA PENUMPANG MELEBIHI DARIPADA
JUMLAH TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG YANG DIPASANG DALAM SESEBUAH
KENDERAAN DAN KESEMUANYA TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Jumlah penumpang yang dikenakan tindakan adalah mengikut bilangan tali
pinggang keledar yang dipasang dalam kenderaan tersebut. Manakala saman
akan dikeluarkan kepada penumpang yang berada di tempat duduk yang
dipasang tali pinggang keledar sahaja.
BOLEHKAH SATU TALI PINGGANG KELEDAR DIPAKAI OLEH LEBIH DARIPADA SEORANG PENUMPANG?
Tidak boleh kerana setiap tali pinggang keledar hanya untuk seorang sahaja.
SAYA
BEKERJA SEBAGAI SEORANG PEMANDU. SEKIRANYA MAJIKAN SAYA YANG DUDUK DI
TEMPAT DUDUK BELAKANG TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR, SIAPAKAH YANG
AKAN DI SAMAN?
Majikan tuan yang akan disaman.
SEBAGAI
PEMANDU ADAKAH SAYA AKAN DISAMAN SEKIRANYA PENUMPANG DI TEMPAT DUDUK
BELAKANG YANG BERUMUR DI BAWAH 17 TAHUN TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG
KELEDAR?
Tidak. Saman hanya dikeluarkan kepada penumpang yang berumur 17 tahun dan ke atas sahaja.
JIKA KENDERAAN MASIH TIDAK MEMPUNYAI TALI PINGGANG KELEDAR, SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MEMASANG?
Tanggungjawab untuk memasang tali pinggang keledar pada kenderaan adalah terletak atas tuan punya kenderaan.
ADAKAH KENDERAAN DARI LUAR NEGARA TERTAKLUK DI BAWAH PERATURAN INI?
Ya. Kenderaan dari negara luar adalah tertakluk kepada peraturan ini.
ADAKAH BAYI WAJIB MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tidak. Bayi tidak diwajibkan memakai tali pinggang keledar sekiranya diriba.
KENDERAAN
SAYA DIDAFTARKAN SEBELUM 1 JANUARI 1995 TETAPI MEMPUNYAI TALI PINGGANG
KELEDAR BELAKANG, ADAKAH PENUMPANG SAYA WAJIB MEMAKAINYA?
Tidak wajib. Walau bagaimanapun penumpang digalakkan memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan.
APAKAH JENIS TALI PINGGANG KELEDAR YANG DILULUSKAN UNTUK DIPASANG DI BAWAH PERATURAN INI?
Jenis tali pinggang keledar yang diluluskan untuk dipasang adalah
seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1 kepada Kaedah-Kaedah Kereta
Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 dan (Pindaan) 2008.
DIMANAKAH SAYA BOLEH MEMBAYAR KOMPAUN KERANA DISAMAN TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Kompaun boleh dibayar di mana-mana pejabat JPJ atau Balai Polis (bergantung kepada pihak yang mengeluarkan saman tersebut).
SAYA
MEMPUNYAI KERETA HONDA YANG DIDAFTARKAN PADA 5 FEBRUARI 1995.
BAGAIMANAKAH SAYA BOLEH MENDAPAT PERKHIDMATAN PEMASANGAN DARI SYARIKAT
HONDA?
Tuan dikehendaki menghubungi agen-agen Honda untuk mendapatkan tarikh temujanji bagi pemasangan tali pinggang keledar.
KENDERAAN
SAYA DIBUAT PADA TAHUN 1994 TETAPI DIDAFTARKAN PADA TAHUN 1995, ADAKAH
SAYA WAJIB MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG?
Ya. Peraturan adalah berkuatkuasa kepada kenderaan yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 1995.
SAYA
TELAH DISAMAN PADA TAHUN 2008 KERANA TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG
KELEDAR HADAPAN TETAPI SAYA INGIN MEMBAYAR SAMAN TERSEBUT PADA TAHUN
2009. BERAPAKAH JUMLAH KOMPAUN YANG KENA DIBAYAR?
Jumlah kompaun yang kena dibayar ialah RM 300.00.
NENEK
SAYA TIDAK MAHU MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR ATAS SEBAB-SEBAB
TERTENTU. BOLEHKAH BELIAU DIKECUALIKAN DARIPADA MEMAKAI TALI PINGGANG
KELEDAR?
Tidak boleh.
ADAKAH KESALAHAN TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR TERMASUK DALAM JADUAL KESALAHAN MATA DEMERIT (KEJARA)?
Tidak.
ADAKAH ORANG KURANG UPAYA (OKU) WAJIB MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Ya.
ADAKAH PEMAKAIAN TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG BOLEH MENGELAKKAN KEMALANGAN JALAN RAYA?
Pemakaian tali pinggang keledar belakang bukan bertujuan untuk
mengelakkan kemalangan jalan raya tetapi dapat mengurangkan risiko
kematian dan kecederaan parah semasa berlaku kemalangan.
ADAKAH
PERATURAN PEMAKAIAN TALI PINGGANG KELEDAR DI BAWAH AKTA PENGANGKUTAN
JALAN 1987 SETARAF DENGAN PERATURAN NEGARA-NEGARA MAJU?
Ya. Peraturan ini telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti U.S.A, Denmark, Britain dll.
KENAPA PENUMPANG TEMPAT DUDUK BELAKANG PERLU MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh
mengundang risiko dan bahaya. Berdasarkan kajian MIROS (Malaysian
Institute of Road Safety Research), pada kelajuan 50 km sejam penumpang
belakang seberat 60 kilogram boleh menghentam tempat duduk hadapan
dengan kesan impak sebanyak 2.4 tan.
BERAPAKAH KES KEMALANGAN ATAU KEMATIAN YANG MELIBATKAN PENUMPANG TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh MIROS (Malaysian Institute of Road
Safety Research), pada tahun 2007, terdapat 350 kes kematian, 700 kes
cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang melibatkan penumpang di
tempat duduk belakang kenderaan persendirian. Daripada jumlah ini, 40% -
50% kes kematian, cedera parah dan cedera ringan yang melibatkan
penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya penumpang memakai tali
pinggang keledar.
ADAKAH TEKSI/KERETA SEWA DIKECUALIKAN DARIPADA MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Semua kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995
diwajibkan memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang termasuk
teksi dan kereta sewa.
KENDERAAN
SAYA TELAH DIDAFTARKAN SELEPAS 1 JANUARI 1995 TETAPI TIDAK DILENGKAPI
DENGAN PENAMBAT BINAAN DALAM (REAR ANCHORAGE POINTS), ADAKAH SAYA AKAN
DISAMAN DISEBABKAN PENUMPANG BELAKANG TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG
KELEDAR?
Tidak. Tuan tidak dikenakan saman kerana kenderaan tuan tidak dilengkapi
dengan penambat binaan dalam (rear anchorage points) walaupun telah
didaftarkan selepas 1 Januari 1995.
No comments:
Post a Comment